Wednesday, May 24, 2017

Klimaks

Tajuk : Klimaks
Penulis : Helmi Effendy
Harga : RM28.00
ISBN : 978-967-446-333-5

Sinopsis
Rutin seharian Saiful Hawiz memburu di kawasan hutan berdekatan dengan rumahnya berakhir dengan tragedi apabila dia tercedera dalam pertarungan dengan dua orang penceroboh yang telah merosakkan ekosistem hutan tersebut. Di rumahnya pula, dua orang anak gadisnya yang risau apabil ayahnya tidak pulang ke rumah, mengambil tekad untuk berdepan dengan zombie dan kesejukan zaman ais pada waktu malam, berjalan kaki berkilometer meminta bantuan koloni manusia terdekat dengan rumah mereka.

Saiful Hawiz berhaya diselamatkan, tetapi salah seorang dari anak gadisnya Zurialis pula terkena gigitan zombie, sekaligus membuka peluang untuk dirinya untuk bertukar menjadi zombie. Tidak mahu perkara yang sama berlaku pada isteri berlaku pada Zurialis, Saiful Hawiz bergegas ke Koloni Bukit Bintang bersama dengan anak sulungnya Farhani dan teman lelakinya Hazrul Hiji demi meminta bantuan sahabatnya seorang saintis bernama Ahmad Naim, dengan harapan lelaki itu mempunyai penawar dan cara merawat Zurialis.

Sepertinya, TUHAN memakbulkan doa mereka. Zurialis disuntik dengan vaksin yang tidak pernah diuji oleh mana-mana manusia. Zurialis menderita sepanjang malam itu, tanpa mengetahui esoknya dia bangkit sebagai satu-satunya manusia yang berjaya sembuh dari virus yang menghancurkan tamadun manusia. Ketika itu, hampir seluruh isi rumah sedang lena membuatkan Zurialis dijangkiti rasa salah faham. Tidak mahu dirinya bertukar menjadi zombie dan menghabiskan ayahanya, kakak, saintis dan teman lelaki kakaknya, Zurialis secara senyap keluar dari rumah.

Namun, dia berjaya ditangkap oleh anak-anak buah pemerintah diktator bernama Shafrizal. Lebih-lebih lagi dia diketahui kebal dari virus dan dijadikan bahan eksperimen oleh Shafrizal untuk mengorek rahsia kekebalannya. Zurialis ditempatkan di sebuah penjara bawah tanah yang terletak di Kamunting.

Ini memaksa Saiful Hawiz bersama Farhani, Ahmad Naim dan Hazrul Hiji melakukan pengembaraan dari Koloni Bukit Bintang, meraih sebanyak mungkin bantuan yang mampu dilakukan untuk memecah-masuk penjara yang paling ketat di dunia. Sepanjang perjalanan berani mati itu, maka pelbagai dugaan menduga kumpulan ini.
Kumpulan ajaran sesat, puak kannibalisme, salji yang sejuk membeku, pemakan daging segar yang semakin terdesak untuk mendapatkan makanan adalah antara dugaan yang haru ditempuh oleh Saiful Hawiz demi kasih sayangnya pada Zurialis!

Kakak Kemboja

Tajuk : Kakak Kemboja
Penulis : Naim Tamdjis
Harga : RM28.00
ISBN : 

Sinopsis
"Mak... ada orang teman adik malam-malam..."

Siti adalah seorang ibu tunggal telah dihalau oleh emak mentua dan abang iparnya dari rumah peninggalan suaminya. Bersama anaknya, Johari yang berusia sembilan tahun, mereka berdua terpaksa berpindah ke sebuah rumah flat di Bandar Baru Bangi kerana dia bekerja di salah sebuah kilang di sana.
Memandangkan Siti sering bekerja lebih masa pada setiap malam minggu, maka tinggallah Johari seorang diri di rumah. Johari sentiasa terdengar bunyi aneh dan gangguan sama ada dari dalam atau luar rumahnya. Pada suatu hari, Johari menyiasat dari mana datangnya bunyi aneh itu dan dia terserempak dengan Kakak Kemboja. Mereka berdua menjadi 'kawan' sejak hari itu dan Kakak Kemboja berjanji akan melindungi Johari.

“Adik, tolong abang. Abang ada hutang dengan adik. Tolong abang, dik.”- Jelmaan Salleh.

“Aku selalu tengok dia cakap seorang diri. Kadang-kadang macam berbisik.”- Khamis Al Jafri

“Akak kan dah janji nak jaga adik?” - Kakak Kemboja


Wednesday, May 17, 2017

Kerana Kasih

Tajuk : Kerana Kasih
Penulis : Aisya Sofea
Harga : RM28.00
ISBN : 978-967-86-0792-6

Sinopsis
Perkenalan yang singkat dengan lelaki bernama Muhammad Haikal Hakimi, mengubah hidup Dilla sama sekali. Hilang prinsip hidup, hilang arah tuju. Dalam sekelip mata hidupnya jadi penuh warna-warni dan hanya berpaksikan pada Kimi seorang.

“Aku bukan suruh kau bercinta dan terus kahwin dengan mamat tu, tapi aku nak kau berkawan dulu dengan dia. Kenal hati budi, kenal latar belakang, baik buruk dia tu. Bukan kenal sebulan terus kahwin!”
Namun Dilla sedikit pun tidak mengendahkan kata-kata yang dihamburkan kepadanya. Baik dari keluarga, mahupun teman rapat. Hatinya semakin terpaut sejak pertemuan pertamanya dengan Kimi.

Cuma ada satu perkara yang merunsingkan Dilla. Kimi tinggal jauh di Brunei. Sedangkan emaknya sudah meletakkan syarat, setiap anak-anaknya yang berkahwin mesti tinggal dekat dengannya. Emak enggan berpisah dengan anak-anak biarpun sudah bergelar isteri.
Dilla sanggup berkorban masa depan demi cintanya pada Kimi, biarpun terpaksa membelakangkan emaknya.

Buang emak buang saudara,
KERANA KASIH aku turutkan.
Namun, apakah perkahwinan senyap-senyap yang bersandarkan hanya cinta semata-mata sudah cukup kuat untuk dipertahankan biarpun dugaan yang mendatang dari lelaki yang dicintainya itu?

Gigitan

Tajuk : Gigitan
Penulis : Zaifuzaman Ahmad
Harga : RM30.00
ISBN : 

Sinopsis
Seorang demi seorang mangsa mati lemas di pantai perkelahan Port Dickson. Mayat mangsa tidak ditemui dan hilang ghaib begitu sahaja. Insiden ini membuatkan Inspektor Hadi keliru dan bingung memikirkan hal ini. Belum pernah terjadi insiden seperti ini.

Inspektor Hadi telah meminta bantuan Imran, pengawal pantai yang bertugas di situ untuk menyiasat. Namun masih gagal mendapat apa-apa maklumat. Seorang wartawan bernama Jamal telah menulis cerita tentang insiden ini dan mengatakan yang mangsa bukan lemas tapi dipercaya dibaham buaya.

Inspektor Hadi dan Imran tidak mempercayai cerita itu sehinggalah pada suatu hari abang ipar Imran, Darus mendapat kecederaan di kaki ketika berkelah di pantai itu. Kesan gigitan itu telah disahkan oleh Doktor Rayan yang mangsa digigit buaya. Mungkin buaya itu sesat dan masuk ke laut untuk mencari makanan. Berita itu telah menggemparkan penduduk di situ. Mereka tidak berani lagi keluar berkelah di hujung mimggu dan ini membuat sektor pelancongan Port Dickson terjejas teruk.

Benarkah pantai Port Dickson tercemar dengan buaya? Betul ke cerita yang ditulis Jamal atau hanya rekaan semata-mata? Tapi Doktor Rayan mengesahkan yang mangsa digigit buaya. Inspektor Hadi dan Imran Buntu memikirkan hal ini. Sama ada ia betul ataupun tidak, hanya akan terjawab dalam novel ini.

Tuesday, May 16, 2017

Pilot

Tajuk : Projek Cinta : Pilot
Penulis : Nia Azalea, Illya Abdullah, S. Kausari
Harga : RM22.00
ISBN : 978-967-86-0800-8

Sinopsis
DI KAYANGAN – NIA AZALEA
Balqis, kadet juruterbang yang tidak pernah lekang daripada masalaha, terutamanya sewaktu latihan penerbangan pesawat. Biarpun telah mengejar impian yang tidak berkesudahan, apatah lagi ditolak ke kiri dan kanan oleh kadet-kadet lelaki yang memandang rendah pada dirinya, semangat waja Balqis tidak sedikit pun berkurangan. Pertemuan pertamanya dengan Hariz, lelaki angkuh yang diminatinya dalam diam, membenihkan rasa meluat dengan sikap ego yang tidak bertempat. Siapa sangka, lama-kelamaan rasa meluat itu berubah menjadi sayang dan rindu yang tidak terlerai.

KISAH HATI – ILLYA ABDULLAH
Cinta itu hadir dalam hati seorang lelaki berbangsa Jepun bernama Satoshi terhadap seorang gadis berbangsa Melayu bernama Rohani. Satoshi seorang juruterbang Jepun yang bencikan peperangan. Peperangan membunuh jiwa yang tidak berdosa. Namun, dunia peperangan itu telah mempertemukannya dengan Rohani, gadis yang dilindungi dan dicintai sepenuh hati. Begitu juga Rohani, biarpun cinta itu terhalang, cinta Rohani hanya buat Satoshi. Apabila mereka perlu berpisah, Rohani tekad untuk terus setia menunggu. Lelaki itu ada janji untuknya. Janji untuk membawa dia terbang ke awan biru.

TAKDIR CINTA IKHWAN – S. KAUSARI
Ikhwan Azril sedang mencari sebab yang kuat untuk berubah daripada kehidupan soSial tanpa batas dengan cara hidup sebagai seorang juruterbang. Pertemuan secara mengejut dengan gadis bernama Warda Anisa seperti membuka jalan untuk itu. Namun, sangkaannya meleset dengan sikap mengongkong Dato’ Bahar, ayah Warda. Setelah satu tragedi menyayat hati, Ikhwan berhadapan kejadian aneh selepas memberi sedekah kepada seorang lelaki tua di kaki lima. Berjayakah Ikhwan hidup bahagia bersama Warda? Apa kaitan semua ini dengan lelaki misteri yang menyebabkan hidup Ikhwan tunggang-langgang?

Monday, May 15, 2017

Marina

Tajuk : Marina
Penulis : Saidee Nor Azam
Harga : RM23.00
ISBN : 978-967-446-332-8

Sinopsis
DAHULUNYA Marina pernah mampu melihat akan kewujudan makhluk halus. Namun setelah dia mendirikan rumahtangga dengan suaminya, Aiman dan memiliki seorang cahaya mata yang diberi nama Mylin. Kehidupan Marina kembali aman damai, dan tiada lagi gangguan dari makhluk halus. Sehinggalah suaminya Aiman membeli sebuah banglo yang sudah lama tidak bertuan. Di situ pelbagai peristiwa yang tidak diingini mula berlaku. Rumah yang mempunyai sebuah loteng yang bersaiz sederhana besar itu bagaikan mempunyai sejarah silam yang amat dahsyat. Dalam diam keluarga Marina sedang diburu oleh satu semangat hitam yang masih hidup di dalamnya.

Friday, May 12, 2017

Cikgu, Kan Kugari Hatimu

Tajuk : Cikgu, Kan Kugari Hatimu
Penulis : Sophilea
Harga : RM25.00
ISBN : 978-967-5289-60-6

Sinopsis
HANIA Alisa, meski hatinya pernah dilukai dengan belati tajam namun pada dia bukan semua lelaki punya cinta yang sama. Pertama kali bertemu Inspektor Fahri Rakib, hatinya berdetap kencang. Saat dia jatuh cinta, jiwa Fahri cuba ditawan meski rasa malu menerjah hati. Pelbagai cara dia cuba untuk dapatkan cinta Fahri. Rasa malu dan ego dibuang demi memiliki hati Fahri.

“Tuan Fahri tertinggal sesuatu.”
“Saya tertinggal apa, cikgu?” Soal Fahri.
“Tuan tertinggal cinta tuan dalam hati saya.” Keningnya dijongketkan. Merah padam wajah Fahri. Dua sarjan yang bersamanya sudah tersenyum-senyum.
Fahri hulurkan tangan.
“Tuan nak sambut cinta saya ke?” Soal Hania. Fahri geleng.
“Berikan balik cinta saya yang lekat di hati cikgu.”

DALAM mengelak, Fahri juga jatuh cinta pada guru yang menumpang sewa di kampungnya ini. Beberapa kali pertemuan yang dicipta Hania, akhirnya Fahri angaukan Hania sehingga tersenyum sendiri dan sanggup minta nombor telefon Hania daripada ibunya.

“Saya suka kat tuan. Kalau boleh saya nak pilih tuan jadi bidadara saya sampai Jannah.”
“Betul ke Cikgu Hania sanggup jadi banduan dalam hati saya?”
“Tuan serius?” Rania renung tepat-tepat wajah Fahri Rakib.
“Saya...saya tak tahu dakwaan apa saya nak kenakan pada cikgu untuk menjadi tahanan seumur hidup saya.”
“Cukup cinta itu sebagai penyebab. Saya dah jatuh cinta dengan Tuan Fahri Rakib.”

SAAT kasih bersulam, dugaan datang. Saat Hania rasakan dirinya tidak dipedulikan, ada seseorang yang sedang menanti dengan penuh harapan. Saat hati Hania bersedih dengan sikap Fahri, ada jiwa yang sedang menunggu untuk kembali bermukim di hati.

“Cinta Nia bukan untuk mainan. Berikan Nia masa. Andai kata Fahri lelah untuk menanti, Nia akan terima semua keputusan takdir.” - Hania
“Saya akan tunggu Nia meski seribu tahun lagi.” – Fahri

Cinta itu ada saat aku ingin memiliki.
Cinta itu tetap ada meski sejauh mana aku berlari
Cinta itu masih ada meskipun hatimu pernah disakiti.