Tajuk : Muhammad Bukan Nasionalis
Penulis : Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Azrul Hakim Suradi
Harga : RM25.00
ISBN : 978-967-361-047-1
Mukasurat : 326
Sinopsis
Barangkali mereka yang tinggal di negara pemerintahan nasionalis mengatakan nabi itu seorang nasionalis. Semasa saya melawat ke Uzbekistan, sebuah negara bekas jajahan komunis, terdapat masjid yang tersergam indah, tok imam yang berjubah dan berkemungkinan boleh menjadi seseorang yang berfikiran komunis, lantas mereka juga mengatakan bahawa nabi seorang komunis.
Tidak sama sekali. Nabi Muhammad SAW adalah 100 peratus Islam, bukannya komunis dan bukan juga nasionalis. Jangan sesekali kita mengatakan bahawa nabi seorang yang berfahaman komunis, nasionalis, demokrasi atau lain-lain fahaman yang menjadi anutan dunia. Inilah yang menjadi teras dalam aqidah.
Masyarakat kini lebih mengutamakan serta menjadikan nasionalisme sebagai fahaman pemikiran. Malah sesetengah negara-negara Arab juga mendakwa dengan nasionalisme mereka mencapai kemerdekaan seolah-olah Islam tidak mampu memberikan kemerdekaan. Dari sini dapat dilihat begitu jahilnya kita dan begitu bijaknya Inggeris mahupun penjajah lain yang begitu kemas sekali mengatur perancangan mereka walaupun setelah diusir keluar dari tanah jajahan masing-masing.
Umum mengetahui, Inggeris keluar dari Tanah Melayu bukan kerana kehendak mereka, tetapi disebabkan keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bermula dari Magana Karta. Selepas Perang Dunia Pertama yang melibatkan Eropah sesama Eropah dan Perang Dunia Kedua yang melibatkan sesama negara Eropah beserta negara Asia, mereka terpaksa menanggung bebannan kesan peperangan yang amat besar sehinggalah PBB mengumumkan semua negara jajahan harus dimerdekakan.
Namun, sebelum mereka berundur, mereka telah mencari dan mengenal pasti agen-agen yang akan bergerak sebagai agensi penjajah untuk disebarkan kepada rakyat supaya menolak agama Islam. Tetapi, kebenaran itu ternyata milik Allah SWT. Nur (cahaya) Allah SWT terpancar ke seluruh dunia ini. Lama kelamaan cahaya kebenaran semakin bersinar dan terus menutupi kegelapan masa lampau.
Bermula di Timur Tengah iaitu, di Mesir, persatuan Ikhwan Muslimin (IM) yang dibenci Inggeris, Perancis serta penjajah lain kini telah berada di hati masyarakat hanya kerana menegakkan kebenaran. Mereka (IM) tidak mempunyai wang, atau kuasa, namun kini sudah berjaya memenangi pilihan raya. Seperti kita (PAS) juga di Malaysia. Kita tidak mempunyai wang, juga tidak mempunyai apa-apa kecuali dengan menyatakan kebenaran bahawa dunia ini bukan hak kita sebaliknya kepunyaan Allah SWT. - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
No comments:
Post a Comment