Monday, February 29, 2016

Mesej Cinta Terakhir : I Love You

Tajuk : Mesej Cinta Terakhir : I Love You
Penulis : Hannah Ezaty
Harga : RM27.00
ISBN : ISBN 978-967-0870-07-6 
Mukasurat :
Berat :

Sinopsis
Jantung Puan Mumtaz seakanakan mahu berhenti berdegup setelah telinganya dengan jelas menangkap ayat-ayat yang terlantun keluar dari bibir anak gadisnya yang sedang enak melepak di atas sofa di ruang tamu. Ketika itu, tangannya ligat menyusun pasu-pasu hiasan yang berada di dalam almari kaca. Mata terus membulat dan tangan yang ligat tadi berhenti mendadak. Tubuh yang sedang enak melepak di atas lantai tadi terus dibawa mendekati sofa yang diduduki oleh Farhah. 

Farhah cuma menayang wajah selamba bagai tidak ada apa-apa perasaan sambil mengunyah epal merah. Tidak cukup wajah selamba, gayanya yang ala-ala diva itu sedap saja bersandar ke sofa tanpa menghiraukan pandangan tajam ibunya.

 “Hang cakap sekali lagi apa yang hang sebut tadi? Mak tak berapa nak dengaqlah!” Suara Puan Mumtaz meninggi. Kedua-dua belah lengan baju kurungnya juga telah siap disingsing sehingga paras siku sambil merenung wajah Farhah di depan, bagaikan emak singa menunggu masa mahu menerkam mangsa. Gelang-gelang emas yang menghiasi kiri dan kanan tangan Puan Mumtaz juga turut ditolak-tolak naik ke atas. 

Panas hatinya. Panas! Suara Puan Mumtaz yang ala-ala macam jurulatih tae kwan do memberi arahan kepada anak-anak buahnya sedikit pun tidak menggentarkan hati Farhah sebaliknya dia sekadar menjongketkan kening, mengunyah lagi sisa epal di tangan dan terus menghalakan matanya ke arah kaca televisyen di depan. Betul-betul macam tak ada perasaan. Gelagat Farhah membuatkan Puan Mumtaz segera menghenyakkan tubuhnya di sebelah, sebelum menarik rakus bahu wanita itu. Lantas jari telunjuk naik ke muka Farhah, mengisyaratkan agar Farhah mengulangi lagi apa yang telah dituturnya tadi. 

Farhah melepaskan nafas panjang dan berat. Sisa epal di dalam mulut ditelan lalu wajah ibunya dipandang. 

“Far cakap Far nak bercerai!”

 “Apa hang kata?” Puan Mumtaz menguatkan suaranya. Peduli apa kalau jiran-jirannya terdengar. Sekarang ini, apa yang penting dia mahu ‘membasuh’ anaknya cukup-cukup. Tiba-tiba rasa geram dengan Farhah yang bereaksi seperti tak ada apa-apa sedangkan perkataan yang keluar dari mulutnya tadi membuatkan Puan Mumtaz sendiri hampir semput. Nak luruh dan gugur dah jantung ni! Farhah berdesit halus. Epal di tangannya diletakkan saja di atas meja kopi di depan lalu tangan digosok-gosok sesama sendiri sebelum menganjakkan diri sedikit menjauh dari Puan Mumtaz. 

“Mak, Far belum pekak lagilah. Suara mak tu boleh dengar sampai hujung taman ni tau!” Dia memprotes terang-terangan tapi mata tetap dihala ke depan bagaikan rancangan yang sedang bersiaran di televisyen sekarang sangat menarik perhatiannya berbanding Puan Mumtaz di sebelah. Farhah jeling sedikit wajah Puan Mumtaz. Ternyata wanita itu terus merenungnya bagaikan dia seorang pesalah jenayah berat yang sedang menunggu masa untuk menerima hukuman. 

“Mak tak puas hati ni, hang ulang balik apa yang hang cakap tadi!” Makin kuat suara Puan Mumtaz. Ini kalau tak diikutkan akal yang waras, mahunya dia buat jeritan menggunakan vokalnya yang paling tinggi dan dalam sekali. 

“Mak, janganlah pura-pura tak dengar! Far dah cakap lebih daripada dua kali dah. Nak Far buat siaran ulangan ke?” Farhah menjongketkan kening. Puan Mumtaz di sebelah rasa macam nak piat saja kuat-kuat telinga anak perempuannya walaupun usia Farhah sudah tidak layak menerima hukuman sebegitu. Masa kecil-kecil dulu seronoklah dia piat telinga Farhah jika dia berbuat salah tapi ini dah besar panjang, umur dah nak masuk 29 tahun. 

“Eh, Farhah... Hang jangan nak main-main tau! Jangan nak buat lawak depan mak! Hang ingat hang tu tengah on air dalam rancangan komedi ka apa?” tengking Puan Mumtaz dengan suara kuat.

 Farhah melepaskan nafas berat. Penat betul bercakap dengan emaknya yang seorang ini. Benda senang saja pun. Dah terang-terang dia beritahu tadi. Bukan sekali, bukan dua kali tapi lebih daripada itu dia beritahu kepada Puan Mumtaz dan dia yakin yang emaknya itu memang mendengar dengan jelas tapi sengaja nak dia ulang semula apa yang disebut tadi. 

“Hoi, mak tanya ni dia boleh duk tayang muka macam tapai basi. Jawablah!” Serentak Farhah rasa yang pahanya bukan main pedih lagi setelah ditampar oleh tangan ‘gagah’ Puan Mumtaz. 

“Mana ada Far main-main, mak. Far serius ni!” 

“Ya Allah, apa kena dengan hang ni, Farhah?” Puan Mumtaz memegang kepalanya dengan kedua-dua belah tangan sambil menayang muka berkerut. Pening sungguh dengan perkhabaran yang dibawakan oleh Farhah hari ini. “Tak ada apa-apa.” “Tak ada apa-apa konon! Kalau tak ada angin, tak ada ribut... Macam mana boleh tiba-tiba nak bercerai-berai pula ni? Hang jangan buat pasal, Farhah!”

 “Buat pasal apa, mak? Far cuma cakap kepada mak yang Far nak bercerai. Itu aje.” Farhah masih beriak selamba sedangkan Puan Mumtaz sendiri dah seperti kucing hilang anak saja. 

“Hang cuba cerita dengan mak betul-betul. Apa kes sampai hang nak bercerai ni? Hang bergaduh dengan Muhsin ka?” Bahu Farhah ditarik laju. Mata menjegil pandang Farhah. Hatinya tidak senang mendengar perkhabaran Farhah yang mahu bercerai dengan suaminya, Muhsin. Entah apalah kenanya budak berdua ni. Elok-elok saja hidup sebagai laki bini tiba-tiba nak bercerai pula! “Apa kes sebenarnya ni? Muhsin ada simpan perempuan lain ka?” tebakan Puan Mumtaz membuatkan Farhah mencebik. Laju saja dia menggeleng lalu memeluk tubuh. Mata sengaja dilarikan dari wajah Puan Mumtaz. Ini yang kadang-kadang dia rimas dengan gelagat emaknya ni. Suka betul buat reaksi yang menakutkan seperti ini, padahal dia cuma beritahu yang dia nak bercerai. Bukannya dia beritahu yang dia nak berpindah tinggal di planet Marikh pun. 

“Dah tu, hang yang ada jantan lain?” Ayat Puan Mumtaz yang serkap jarang membuatkan Farhah berdesitdesit kasar, memprotes. 

“Ada ke situ pula mak ni. Far ni masih waraslah, mak. Masih ada akal dan tahu beza hukum-hakam. Takkanlah Far nak buat perkara tak senonoh macam tu!”

 “Habis tu, kalau dah Muhsin sendiri tak ada perempuan lain dan hang pun tak pasang jantan lain kat belakang dia, apa hal yang hangpa berdua nak bercerai? Orang... Kalau ada akal, tak adanya nak buat perkara bodoh macam ni,” bebelan Puan Mumtaz masuk terus ke telinga Farhah. 

Tapi dia cuma kaku di atas sofa seakan-akan sedang tercampak dalam sebuah dimensi yang berbeza dengan emaknya. 

“Hoi, cik kak! Hang dengaq atau tidak apa mak tanya ni?” Paha Farhah sekali lagi ditampar kasar dek tangan Puan Mumtaz yang berisi sehingga Farhah terkejut. 

“Sakitlah, mak.” Pahanya digosok-gosok sambil buat muka. 

“Kalau dah tahu sakit, soalan mak ni, hang jawablah!” Puan Mumtaz mengetap bibirnya menahan geram. Ikutkan hatinya, nak saja dia bagi ceramah percuma mengenai rumah tangga kepada Farhah tapi dia mesti mendengar apa masalah anak menantunya sampai nak bercerai-berai begini. Terkejut sungguh tapi dia tak berpuas hati dengan reaksi anaknya. Boleh dia buat muka selamba! Hei, nak kena ketuk ni! “Entah.” “Entah?” Menjegil mata Puan Mumtaz.

“Mungkin kami dah tak ada persefahaman dah kut?” 

“Hang ni biaq betul, Farhah? Itu saja alasan hang nak bercerai dengan Muhsin? Eee... Hang ni betul-betul buat mak sakit hati sajalah!” 

“Awat pula?” Farhah tenung muka Puan Mumtaz dengan perasaan pelik. Eh, mak aku ni. 

Tak puas hati apa lagi? 

“Hang ada sembunyikan apa-apa daripada mak ka? Baik hang cakap apa sebenarnya punca hang dengan Muhsin nak bercerai? Takkan dah tak ada persefahaman pun dah ambil keputusan nak bercerai? Tak masuk akal betullah!” Jari telunjuk Puan Mumtaz tepat di depan batang hidungnya.

 Farhah tenung Puan Mumtaz agak lama sebelum tertelan liur. Rengkungnya rasa sempit sedikit melihat gaya emaknya ini. Tu dia... Macam mami jarum naik angin! Ngeri! Seram! 

“Betullah, mak. Kalau dah tak ada persefahaman, buat apa nak teruskan hubungan yang dah retak menanti belah ni? Kalau Far ke kiri dan dia ke kanan, tak sama haluan... Kan lebih elok aje berpisah. Tak ada siapa yang akan sakit hati nanti.” 

“Senang saja hang bercakap, noh? Buat muka macam tak dak perasaan. Hang ingat perkara cerai-berai ni perkara mainan ka? Boleh duk buat main? Ni siapa yang mulakan dulu?” 

“Far tahu perkara ni bukan perkara kecil. Tapi Far dah fikir masak-masak dan kami berdua pun dah bersetuju. Jadi, kami berdua ambil keputusan untuk berpisah. Tak ada jalan lain lagi dah!” 

“Oh, waktu buat keputusan nak bercerai boleh pula hangpa berdua ada persefahaman. Hah, eloklah tu. Elok! Dua-dua dah bersetuju nak bercerai. Dulu masa kahwin, bukan main tak ingat dunia. Buat majlis besar-besaran, gah bukan main sampai boleh masuk Malaysian Book of Records. Apa orang la ni kata, wedding of the year? Hah, la ni nak bercerai-berailah pula! Hei, Farhah... Farhah... Hang dengan Muhsin fikir perkara kahwin cerai ni perkara main-main ka, hah? Bila suka, kahwin... Bila tak suka, bercerai. Macam tu?” Puan Mumtaz dah nak buat amukan kepada anaknya. Geram sungguh. 

“Janganlah diungkit benda yang dah lepas, mak. Far tahu masa Far kahwin dulu, dah banyak duit berhabis untuk majlis tu. Tapi apa yang jadi sekarang ni bukan kehendak Far ataupun dia. Kami pun sama-sama tak pernah fikir perkara macam ni akan berlaku. Tapi kita kena berbalik kepada kehendak takdir, kan mak? Far dah berusaha sehabis daya nak selamatkan perkahwinan kami tapi jalan penyelesaiannya tetap tak ada. Kami memang dah tak boleh hidup sebagai pasangan suami isteri lagi. Memang dah tak boleh. Far hanya nak bercerai dan mulakan hidup baru. Itu saja,” balas Farhah mendatar. 

Tangan Puan Mumtaz pantas diraih dan digenggamnya kemas-kemas. Anak mata wanita separuh abad itu ditenung meminta pengertian. 

“Far cuma nak sokongan daripada mak dengan ayah aje sekarang ni. Far nak restu mak ayah.”

 “Apa hang merepek ni? Restu apa? Restu nak jadi janda?” tempelak Puan Mumtaz sambil menarik tangannya dari genggaman Farhah. Marah betul dia. Nak saja dia lukuluku kepala Farhah. Ini mesti buat keputusan dalam keadaan marah. Mesti tak fikir panjang gamaknya. Apa, dia ingat senang nak galas status janda? Umur tak cecah tiga puluh tahun dah jadi janda. 

“Tak kesahlah, mak... Nak jadi janda ke, balu ke... Kalau dah itu takdir Far, nak buat macam mana lagi, kan?” Farhah jawab pasrah. Sebenarnya, hatinya sakit apabila mendengar perkataan janda meniti di bibir sendiri. Tapi dia dah tekad, nak jadi apa pun jadilah. Yang penting, niatnya untuk bercerai tetap diteruskan.

 Puan Mumtaz mendengus deras lalu meraup kepalanya. Susah benar kalau ada anak seperti Farhah. Kalau dah hitam katanya, hitamlah. Tak adanya nak jadi putih, kelabu, biru, merah atau sebagainya. Pening kepala dibuatnya. Ini mujurlah dia ada anak seorang saja, kalau dia ada anak yang lain tak tahulah kerenah yang macam mana lagi dia perlu hadap. 

“Mak dah tak tau nak cakap apa lagi kat hang. Hang tu dah besaq, kalau mak membebel panjang berjela nanti hang kata mak tak sporting. Mak sekolahkan hang nanti hang cakap hang dah cukup bijak pandai. La ni, mak nak hang pikiaq dalam-dalam sebelum buat tindakan melulu. Umur hang tu pun bukannya muda lagi. Dah nak masuk 29 tahun. Dah boleh pikiaq yang mana baik dan yang mana buruk. Jangan buat keputusan yang akan memakan diri sendiri nanti.” Sesaat kemudian, Puan Mumtaz terus berlalu meninggalkan Farhah sendirian di ruang tamu. 

“Mak, Far tetap nak bercerai!” pekiknya. Bertekad.


Puan Adibah menuju ke bahagian luar rumahnya, ke kawasan kolam renang sambil membawa segelas air yang baru siap dibancuh. Hati masih tak sudah berdongkol geram sebenarnya tapi dia gagahkan juga diri agar tidak cepat melatah. Ikutkan hatinya, nak simbah aje air sejuk yang dipegang ni ke atas kepala anaknya. Bukan main seronok lagi, landing di tepi kolam renang seolah-olah dia tu pelancong yang sedang berjemur di tepi pantai. Siap dengan baju bunga-bunga, seluar pendek, topi besar di atas kepala dan kaca mata hitam yang elok tersangkut di batang hidungnya. 

“Air, Sein,” tegurnya sambil menghulurkan gelas kepada Muhsin. Puan Adibah mengambil tempat di kerusi sebelah Muhsin sambil merenung wajah lelaki itu yang nampak tenang saja. 

“Terima kasih, ibu.” Ceria betul Muhsin membalas sambil mencapai gelas dari tangan Puan Adibah. Air disisip sedikit dan gelas diletakkan ke atas meja kecil di tepi kerusinya. Kemudian, dia kembali merehatkan diri dengan meletakkan kedua-dua tangannya ke belakang kepala. 

“Kau cuti berapa lama ni?” Soalan Puan Adibah memang disengajakan. Sejak lebih sejam yang lalu anaknya singgah ke sini, Puan Adibah hanya dimaklumkan oleh Muhsin yang dia bercuti hari ini. Tapi, nampak pada gayanya macam nak bercuti lama. Beg baju yang dibawa seperti nak berpindah rumah lagaknya. Dia tahu anaknya itu sentiasa sibuk dengan kerja. Hari Sabtu pun sibuk di pejabat. Itu yang dia rasa pelik sedikit apabila tiba-tiba saja Muhsin datang ke sini dan beritahu yang dia cuti sedangkan dua tiga hari lepas Muhsin asyik sibuk dengan urusan pejabat. 

“Tiga hari. Hari Selasa Sein masuk pejabat semula.”

 “Sepanjang cuti ni, nak tinggal kat sini ke? Siap bawa beg baju lagi macam nak lari rumah. Tak nak balik rumah ke?” 

“Nak balik rumah buat apa, ibu? Tak ada apa pun kat sana.” 

“Amboi, habis tu bini kau tu apa? Nak biar Farhah seorang diri kat sana?” Muhsin selak topi besarnya lalu melurutkan kaca mata sebelum tenung wajah Puan Adibah. Seketika, keningnya mula bercantum rapat. 

“Pergilah balik. Waktu-waktu cuti macam inilah patutnya kamu berdua meluangkan masa bersama. Isi masa lapang berdua. Paling tidak pun, bawalah Farhah berjalanjalan.” Cadangan Puan Adibah mendapat cebikan halus daripada Muhsin. 

“Hah, apa hal tayang muncung macam tu dekat ibu?” 

“Nak bawa Farhah berjalan-jalan apanya, ibu? Dia dah balik rumah mak dia.” 

“Hei, ibu tak fahamlah dengan kamu berdua ni. Seorang ke sana, seorang ke sini. Apa kata kau pergi rumah mak mentua kau tu dan ambil Farhah. Bincang elok-elok masalah kau orang tu. Jangan biar macam ni, nanti melarat. Benda masih boleh dibawa berbincang, Sein!” Puan Adibah cuba bagi cadangan. Sejak diberitakan oleh Muhsin yang anaknya itu mahu bercerai, hatinya tak sudah berdoa semoga tak ada apa-apa yang tak baik akan berlaku. “Tak ada benda yang boleh dibawa berbincang dah, ibu. Persetujuan dah dicapai. Sein dengan Farhah akan bercerai tak lama lagi.” Puan Adibah mengalihkan posisi tubuhnya. Ikut hati nak saja dia tarik anaknya dan tolak masuk ke dalam kolam. Tayang muka selamba macam tak ada apa-apa masalah sedangkan dia baru saja buat keputusan untuk bercerai dengan isterinya. 

“Hei, budak bertuah... Geram pula ibu dengan kau ni!” Puan Adibah mengepal-ngepal penumbuknya sambil mengetap gigi menahan rasa. “Kau dah fikir masak-masak ke, Sein? Kau jangan buat main benda kahwin cerai ni boleh tak?” 

“Mana ada Sein buat main, bu. Sein serius ni.” 

“Habis tu, kau betul-betul nak bercerailah ni?” “Dah itu yang Farhah nak. Sein ikutkan aje.” “Hoi, Sein! Kalau tak fikir yang kau tu dah besar panjang, memang ibu ketuk kuat-kuat kepala tu. Bercakap ikut sedap mulut saja. Apa kata Farhah, kau ikut saja. Habis tu apa peranan kau sebagai suami dia? Jadi pak turut? Menonong ikut kata bini. Dia minta cerai, kau nak bercerai. Esok-esok kalau dia suruh kau terjun lombong, kau buat jugalah macam tu? Hei, ini kalau abah kau tahu ni... Sampai hujung tahun kau tak tidur lena dengar tazkirah dia. Kau dah fikir habis-habis ke pasal hal ni?” 

“Sein dah buat keputusan pun, ibu. Tak ada apa yang boleh diubah lagi.” 

“Hei, kepala batu betul! Dah tak ada jalan lain lagi ke nak selamatkan rumah tangga kamu berdua? Kahwin tak sampai dua tahun dah nak bercerai. Kau fikir hal kahwin cerai ni macam makan ais kacang?” Muhsin hanya tersengih mendengar bebelan Puan Adibah seakan-akan bebelannya itu sebuah melodi yang membuai jiwa. Tambahan pula cuaca di luar cantik, duduk pula di depan kolam renang. Bertambahlah terbuai jiwanya. “Ibu bercakap sampai berbuih mulut ni kau boleh sengih aje, kan?” 

 “Tak adalah. Dengar ibu bercakap, rasa nak layan tidur kat sini. Syok!” 

“Banyaklah kau punya syok. Sudah, ibu tak kira... Kau pergi ambil Farhah kat rumah mak mentua kau dan bawa dia balik. Pergi berbincang elok-elok masalah kau orang ni. Selagi boleh selesai, kau selesaikan. Jadi seorang lelaki yang matang sikit, Sein. Jadi manusia yang tegas.” 

Muhsin sisip air lagi dari gelas lalu bersandar enak kembali ke kerusi dan menarik topi besar ke hadapan sehingga menutup keseluruhan wajahnya. Terasa indah betul kalau tidur di luar begini.

 “Sein! Ibu bercakap ni kau boleh buat derk aje.” Bahu Muhsin laju ditampar oleh Puan Adibah sehingga dia mengaduh sakit. “Pergilah bawa balik Farhah tu. Pujuk isteri tu...” 

“Nak buat apa, bu? Buang masa ajelah. Baik lagi Sein lepak kat sini sambil dengar ibu membebel.” “Astaghfirullahalazim, Sein! Kau nak ibu campak kau masuk dalam kolam ni ke?” 

“Sein sanggup kena campak masuk kolam seribu kali daripada Sein kena ambil Farhah dan bawa dia balik ke rumah Sein.” 

“Apalah yang kau merepek ni, Sein?” Puan Adibah dah tayang wajah mencuka. Nak gugur jantungnya dengar kata-kata Muhsin. Ini kalau tak diikutkan rasa sabar, memang betul-betul dia buat apa yang dia canangkan sebentar tadi. 

“Sein tak merepek, ibu. Sein malas nak pergi rumah mak dan hadap Farhah tu. Ibu tahulah dia tu macam mana. Lagipun, kami berdua dah bersetuju dan dah capai kata sepakat. Sein harap sangat yang ibu tak halang keputusan kami ni. Sein cuma nak buat yang terbaik untuk diri Sein. Itu aje, ibu.”

 Sambil muka bertutup dengan topi, dia masih mampu bercakap lagi. Puan Adibah tenung dalam-dalam anaknya lantas melepaskan satu nafas berat. 

“Kau masih sayang Farhah?” 

“Apa soalan macam tu yang ibu tanya pula?” Muhsin selak topinya, mencari bebola mata Puan Adibah. “Kau sayang dia lagi tidak?” tekan Puan Adibah tapi Muhsin hanya membiarkan saja pertanyaan itu tergantung dan terus menikmati suasana damai di tepi kolam renang. 


Kalau Sayang Jangan Marah

Tajuk : Kalau Sayang Jangan Marah
Penulis : East Diani
Harga : RM28.00
ISBN : 978-967-0870-05-2 
Mukasurat : 
Berat : 

Sinopsis
Ramai yang ingin menghulurkan cinta kepadanya tapi hatinya terkunci rapat. Dia hidup sendiri dengan kenangan yang masih tersimpan rapi. Namun, pertemuan pertama dengan Naqib sudah membuatkan hatinya berdetik tidak tenang. Apatah lagi, ada pertemuan seterusnya yang tidak dijangka. Sikap Naqib membuatkan Yani sesak. Naqib suka menakluki dirinya menjadikan Yani bertambah benci padanya. Lelaki perasan bagus!

“Berani kau tampar aku?” - Naqib
“Beranilah. Dah awak tu gatal. Saya dah tolong awak tadi dah cukup bagus tau.

Orang dah tolong, boleh pula nak ambil kesempatan. Saya tak suka, awak tahu tak?”- Yani

Naqib selalu membuat tindakan tanpa diduga oleh akal fikirannya. Hingga mereka berdua terikat sebagai suami isteri. Segalanya Naqib aturkan sendiri dengan tindakan segeranya.


“Nanti kita kongsilah. Mak kau akan jadi mak aku juga. Mummy aku, jadi mummy kau juga”- Naqib
“Tak kuasa!”- Yani
“Aku kuasa nak jadi suami kau. Jom kita kahwin! Seronok juga kalau dapat kahwin dengan perempuan macam kau. Kasar… Garang… Aku suka!- Naqib

Hari kedua perkahwinan mereka, Yani dikejutkan dengan kisah sebenar yang disimpan oleh Naqib selama ini. Hatinya bagai diragut sekelip mata. Kerana dendam, Naqib sanggup memperjudikan cinta Yani. Dia mahu Yani menangis sepertimana dia menangis. Dia berjanji akan membuatkan Yani merana.  Tetapi, telatah dan sikap Yani yang tidak rebah dengan layanannya membuatkan Naqib pula yang sakit kepala. Dirinya pula digoda oleh si isteri. Ada sahaja sikap Yani yang sengal-sengal ubi buatnya terkena kembali.

“Dia jodoh istikharah aku. Aku yakin dengan ketentuan Tuhan. Jika dia sudah dijodohkan dengan aku, aku akan buat dia tunduk pada aku. Tak kisah dikatakan perigi cari timba. Aku akan buat dia jatuh cinta pada aku” - Yani

Demi cinta yang mula mekar di hatinya, Yani berdiri dengan senyuman paling manis. Halangan dan dugaan tidak dapat menafikan dia sebagai pemilik cinta Naqib. Demi mematikan sebuah janji, Yani bangkit. Apa yang dilakukan Naqib, sesekali tidak membuatkannya putus semangat.

Yani percaya ada cinta yang mewangi dalam hati Naqib.

Lalu, bermulalah misi mengejar cinta suami. Mampukah Yani mencuri hati suaminya? Atau Naqib akan terus menyalahkan dirinya dan korbankan cinta itu? Bagi Yani, kalau benci lepaskanlah. Kalau diam siapa yang tahu.

Tapi kalau sayang jangan marah!

Sunday, February 28, 2016

Kerana Aku Isteri Bidaan

Tajuk : Kerana Aku Isteri Bidaan 
Penulis : Tulip Ungu
Harga : RM27.00
ISBN : 9789675289354

Sinopsis
RAINA terperangkap dalam dunia GRO gara-gara percaya dengan janji manis kekasih hati yang membawanya lari dari dunia kampung dan dunia Farel. Bergelumanglah dia dalam dunia itu walaupun pernah berusaha melarikan diri tetapi gagal. Hari pertama bertugas, dia bertemu Emad dan mengikat kontrak untuk kekal sebagai teman mesra Emad di kelab.

RAINA yang dahulunya liar, degil, melawan...Menambah perangai lagi...Manja, seksi, gedik demi tuntutan tugas dan keselamatannya. Suatu hari dia tergamam seketika apabila salah seorang pelanggan yang harus dilayannya adalah Farel, lelaki yang amat dikenali... Lelaki yang difitnahnya dan ditinggalkan pula pada malam pernikahan mereka namun lelaki itu juga yang membidanya dari TTF.

RUMAH TANGGA mereka ada pasang surut… Rentak seksa, seksi dan ‘syurga’…

“I sebut satu atau dua perkataan, you sambung perkataan yang ada kaitan dengan perkataan I sebut. Nak?”
“Kebun pisang?” Giliran Raina pula.
“Farel”
Raina gelak. Farel jawab menyebut namanya sendiri. Mentang-mentang dulu pengusaha kebun pisang. Farel yang melihat semakin terpegun. Kejujuran dan keikhlasan Raina ketawa sudah dia temui.
“Farel?” soal Farel pula. Raina tergamam. Mahu menjawab kebun pisang, tidak boleh pula.
“My hero…” Spontan jawabnya.

DISANGKA matahari memancar indah hingga ke petang, namun hujan di tengah hari... Rupanya rumah tangga mereka cukup rentak... Memporak perandakan hati dan tragis juga

“I nak hantar you balik ke tempat asal you.”
“Farel tolonglah...Apa yang terjadi bukan seperti yang you sangka.” Raina bela diri. Air matanya sudah gugur.
“Kena tangkap khalwat dengan Emad, apa yang I sepatutnya jangka?” Sinis nada Farel bertanya. Kalau setakat bercanda dalam bilik pantri dia boleh maafkan lagi tapi kalau sudah ditangkap basah, itu bukan lagi perkara kecil. Ia melibatkan maruahnya.
“Farel...Tolonglah, I tak nak balik ke sana, kalau you tak nak simpan I lagi, ceraikan I atau jualkan I pada Emad,” rayu Raina sambil memaut lengan Farel yang sedang memandu menuju ke TTF...

APAKAH yang berlaku dan tindakan Farel seterusnya tatkala Raina masih sukar mengubah cara hidup GROnya?

Friday, February 26, 2016

Penggari Hati Mr. Ego

Tajuk : Penggari Hati Mr. Ego
Penulis : Cici Aida
Harga : RM26.00
ISBN : 978-967-0870-06-9 
Mukasurat : 
Berat : 

Sinopsis
“Kenapaaku? Sepatutnya kau yang minta maaf sebab kau cuba nak bunuh aku tadi.  Nyaris tak mati katak. Kalau jadi apa-apa dekat aku tadi, belum tentu kotak buruk kau tu mampu nak bayar insurans nyawa aku.”- Dania

“Hei, kenapa mulut kau ni jahat sangat ha? Aku tak pernah jumpa perempuan sewel kuat  menjawab macam kau ni. Kalau aku tak tarik kau tadi, memang kau dah mati katak. Aku juga yang rugi, sebab kau tak dapat bayar ganti rugi kereta aku. Akutak  nak banyak cakap. Bayarsekarang!!! – Lutfi

Dania Wirdani, gadis yang selamba dan pantang dicabar. Selalu ada jawapan bagi setiap persoalan. Manakala Ahmad Lutfi, lelaki yang penuh displin diri. Namun, sikapnya yang angkuh terhadap Dania, membuatkan dirinya digelar Mr. Ego oleh gadis itu.

Benteng hati si gadis seolah sukar dijangka. Dan  dalam diam Dania telah mencuri hatinya. Biarpun  tidak dizahirkan dengan kata-kata, hati mula dipaut rasa suka. Jiwaterangmenari bahagia. Ucapan sayang tidak pernah terungkap, tetapi ikatan suci yang dibina dengan restu keluarga, mula mengalun cinta. Dania sedar dengan siapa dia berkahwin. Dan Lutfi juga tahu,  mengapa Dania yang dipilih.

“Awak hanya pentingkan diri sendiri Fi. Sepatutnya saya berfikir sepuluh kali untuk berkahwin dengan lelaki luar biasa macam awak.” – Dania “Cukup..! Memang saya lelaki luar biasa yang awak tak pernah tahu. Semua yang saya pendam, semua yang saya simpan tak mungkin ada hati yang akan faham. Dan antara kita tak perlu ada rahsia lagi Dania.” – Lutfi

Kedua-duanya punya prinsip bagi mengatur langkah untuk kehidupan sendiri. Tetapi apabila  Dania memiliki Lutfi, bermakna dia adalah seorang isteri. Dan mampukah Lutfi sebagai  suami meletakkan ego di tempat yang sepatutnya? Bila hati digari cinta, meluahkan bukan  semudah yang disangka. Sebaliknya, hanyakeihklasan yang menentukannya.

Bahagia Mengetuk Hati

Tajuk : Bahagia Mengetuk Hati
Penulis : Amanda Zee
Harga : RM25.00
ISBN : 978-967-0870-10-6 
Mukasurat :
Berat :

Sinopsis
LARIAN cuba kulajukan sepantas mungkin. Aku menyusup di balik semak dan belukar. Aku berpaling seketika ke belakang. Nafas kelegaan kuhela bila tiada lagi kelibat yang mengekori langkahku.
Pada ketika ini, tidak tahu kekuatan apa yang aku perolehi. Entah dari mana aku tidak tahu. Mungkin Allah mendengar doaku. Otakku pantas sahaja berfikir. Sebagaimana pantas aku membelasah lelaki-lelaki durjana itu tadi.
Mataku tertancap pada sebatang pokok yang dikelilingi rimbunan kecil. Cukuplah untuk badanku yang kecil molek ini. Segera aku menapak ke situ. Beg selempang aku campak ke sisi.
Sebaik sahaja aku menunduk, telingaku menangkap sesuatu. Aku mengintai. Lelaki-lelaki durjana itu tadi. Aku berpaling membelakangkan mereka. Nafasku mula turun naik luar dari kebiasaan. Berdebar-debar. Janganlah mereka perasan aku di sini.
"Ya Allah, Ya Tuhanku. Kau lindungilah hambamu ini. Amin." Mulutku terkumat-kamit berbisik. Wajah kuraup kasar.
Aku mengintai semula. Nasib baik rimbunan kecil ini mampu melindungi keseluruhan tubuhku. Kalau tidak tak tahulah apa nasibku. Kudratku semakin lemah. Untuk berlawan dengan mereka semua sekali lagi tidak mungkin aku mampu.
"Jumpa tak?" Satu suara garau bertanya.
"Entah tapi aku nampak dia lari ke sini tadi." Lelaki berbaju merah menjawab.
Masing-masing kulihat membesarkan mata memerhati sekeliling.
Terasa dihatiku debaran yang semakin menggila. Bermacam-macam doa aku baca. Berharap sangat lelaki-lelaki keparat ini tidak perasankan aku.
"Sekarang macam mana?" Lelaki berbaju merah itu bertanya pula.
"Siallah budak tu. Kalau aku dapat memang teruk aku kerjakan. Dah, jom blah." Si suara garau mengarah.
Nafas kelegaan kuhela setelah pasti mereka sudah berlalu jauh. Aku bersandar lemah pada pokok yang menjadi tempat aku berlindung.
"Fuhhh...nyaris aje tadi. Kenapalah aku berani sangat tadi." Aku menggeleng.
Beg selempang yang terdampar agak jauh kuambil. Langkahku mati bila satu dehaman menyapa dekat dengan telingaku. Aku menoleh mengikut arah datangnya bunyi tadi.
"Allah!" Terjerit kecil aku jadinya sebelum cepat-cepat tapak tanganku naik menekup mulut. Takut didengari orang. Manalah tahu lelaki-lelaki durjana tadi berpatah balik.
Aku lihat orang yang berdeham tadi tersengih sambil berjalan mendekati aku. Berdiri betul-betul di hadapan aku. Menghalang laluanku.
"Mati aku." Mulutku menggumam.
Aku kini umpama terlepas dari mulut buaya, masuk mulut harimau. Kukerling dengan ekor mata pada figura yang masih tersengih ini.
"Kau buat apa sampai malaun dua ekor tadi kejar kau?" Figura itu menari-narikan keningnya.
"Kau siapa?" Aku bertanya balik. Tak mungkin aku nak jawab soalan dari orang yang tidak aku kenali.
Namun soalan aku dibalasnya dengan jongketan bahu. Buat menyirap darah mudaku sahaja.
"Wei! Tepilah." Aku besarkan mata. Ada juga yang kena karate ni. Bila ditanya tidak mahu jawab. Apa dia ingat aku faham dengan sengihan dia tu.
"Nama aku Hazim." Figura yang tersengih tadi memperkenalkan dirinya kepadaku.
"Tak kisahlah nama kau apa pun." Aku tolak badan figura yang mengatakan namanya Hazim ini. Ingat aku ada masa untuk berkenal-kenalan. Sangat tak sesuai. Sekarang ini aku kena fikirkan nasib diri sendiri. Hidup atau mati. Namun sedikit pun dia tidak berganjak. Malah lelaki itu selamba bersilang tangan di dada. Tersengih memandang aku.
Kenapalah mama dulu tak makan banyak-banyak. Kalau tidak senang aje aku nak jentik mamat ni. Ini nak tolak dia pun aku tak kuat.
Aku ke kanan.
Dia ikut sama-sama melangkah denganku.
Mulutku sudah berbunyi. Aku merengus. Kaki kiri pula aku hayun.
Dia kenyit mata padaku sambil kaki turut sama mengikuti langkahku.
"Arghhh!" Aku menjerit. Penat melayan entah siapa-siapalah mamat bajet bagus ini.
"Kau jeritlah kuat-kuat. Kalau malaun dua ekor tu datang balik, aku tak tahu." Hazim angkat kedua-dua belah tangan tanda mengalah.
Besar kecik besar kecik aje aku tengok mamat bajet bagus ni. Kalau tak mengenangkan perbezaan saiz badan mereka, memang lunyai mamat bajet bagus ni.
Sempat matanya mengerling jam di tangan. Pukul 10 dah? Aduh, aku dah lewat sangat ni. Karang mama dengan papa dah sampai rumah, tahu aku tak ada. Kantoi. Kena perintah berkurunglah jawabnya.
Tiba-tiba terasa sesuatu pada pergelangan tanganku. Terkebil-kebil mataku memandang tidak percaya.
"Ikut aku." Hazim menarik aku berlindung di balik belukar jauh dari tempat tadi.
Keadaan kelam malam menyebabkan aku sukar untuk mengagak apa yang ada di depanku. Hinggakan hampir sahaja aku tersadung. Nasib Hazim pegang tanganku.
Hazim apa? Oh! Ernie. Kau dah ternoda. Poyolah kau, Ernie. Takkanlah setakat pegang tangan sudah ternoda. Mazhab mana yang kau ikut.
"Hish...apa tarik-tarik ta..." Kata-kataku termati di situ. Tapak tangan Hazim elok saja menekup mulutku. Sebelah lagi tangan Hazim menekan kepalaku. Memaksa aku bertinggung sama macam dia.
What the heck? Suka-suka sentuh anak dara orang. Haram tahu tak. Mama! Papa! Tolong Ernie.
Baru sahaja aku ingin bersuara lagi bila Hazim menjauhkan tangannya dari mulutku, telingaku menangkap suara lelaki sedang berbual.
Berderau dadaku. Itu lelaki-lelaki tadi. Apa mahunya lagi? Dan bukan ke tadi Hazim tidak mahu menolongku?...


Tuesday, February 23, 2016

Cinta Hatiku Encik Naga

Tajuk : Cinta Hatiku Encik Naga
Penulis : Adah Firaisaa
Harga : RM27.00
ISBN : 9789671289259

Sinopsis
Walau liku hidupnya tak seindah orang lain, namun Marha Karmila masih mampu tersenyum dan ceria. Segala kisah duka dulu cuba dilupakan dan disimpan kemas, jauh di sudut hati. Namun, hanya kerana seorang lelaki yang digelar naga, hidupnya berubah serta merta.

“Apa?? Awak kata saya bagi awak bala?? Eh, hello, saya dah minta maaf baik-baik. Suka suki awak cakap saya macam ni ye? Dah lah muka merah macam naga. Sedap mulut je cakap kita bawa bala”~ Marha

“Kau ambik baju ni, basuh! Jangan basuh guna mesin., rosak nanti! And tolong pulangkan secepat yang mungkin. Terima kasih!”~ Harraz

Persengketaan yang terjadi membawa Marha masuk ke dalam keluarga Harraz. Namun kerana satu kejadian, kudup-kudup kasih antara mereka mula berkembang.

“Aku tak ada alasan. Yang pasti kau tak boleh. Aku tak layak untuk kau!”~ Marha

“Marha, aku tahu maksud kau, segalanya. Aku tak kisah. Semua tu bukan salah kau, bukan kau yang minta. Marha Karmila, izinkan aku melindungi kau.” ~ Harraz

Setelah beberapa bulan bahagia menjalani hubungan sebagai suami isteri, sekali peristiwa aneh menjelma dalam hidup mereka. Sedang Harraz dan Marha dalam keadaan terumbang ambing, Malina dan Natasha hadir menagih kasih sekaligus menggoncang hati setianya.

Berjayakah Harraz menunaikan janji menjadi pelindung sejati? Teguhkah dia menahan gelodak jiwa yang inginkan kasih sayang seorang isteri sepenuhnya berbalas? Siapakah yang akan memenangi hati Harraz? Malina, Natasha atau Marh

Hanya Kamu, Johanna

Tajuk : Hanya Kamu, Johanna
Penulis : Dilla Ahmad
Harga : RM25.00
ISBN : 978-967-0870-08-3
Mukasurat :
Berat :

Sinopsis
“Abah tak suka dengar apa yang kamu dah buat kat luar sana, Syed Harraz Hussain!” marah Tuan Syed Amiruddin.

 Syed Harraz cuma buat muka kering apabila abahnya mula nak menyinga. Sambil duduk bersandar di sofa, dia menjeling lelaki itu yang masih menunjukkan muka tak puas hati. Kemudian dia sibukkan diri bermain dengan telefon bimbitnya.

 “Apa yang Harraz dah buat, abah?” tanya Syed Harraz pura-pura tidak tahu. 

Perkara yang dia buat pun adalah perkara yang biasa dilakukan oleh anak-anak muda sepertinya. Kecuali yang satu itu. Dia hampir kena tangkap basah dengan Gina, gadis Cina kacukan mat salih. Bukan salah dia pun. Tapi salah perempuan itu. Sengaja nak perangkap dia. Tak ke pelik bila dia hampir ditangkap di kondonya sendiri sedangkan perempuan itu yang datang menyerah diri? Syed Harraz sudah menggeleng perlahan apabila mengingati perkara tersebut. Nasib baik si Kevin dan Remy ada di tempat kejadian. Kalau tidak, memang kahwin freelah dia. Lepas saja kejadian itu, dia terus balik ke rumah besar ini. Lagi bagus, selesa dan paling penting tidak ada orang lain yang sesuka hati datang ke rumahnya sebab mereka kena berjumpa dengan pengawal terlebih dulu. 

“Hari tu kamu kena tahan sebab bawa kereta macam Formula 1. Lepas tu, kena tahan lagi sebab bergaduh di kelab malam. Yang ni pula hampir kena tangkap basah. Apa lagi lepas ni ya, Harraz?” perli Tuan Syed Amiruddin.

 “Kalau kamu tu gatal sangat nak kahwin, cakap aje kat abah dan mama ni. Boleh kami carikan calon untuk kamu. Tu, si Dania.. Dia memang dah lama tunggu kamu. Cakap aje nak bila. Abah boleh pergi pinangkan anak pak ngah kamu tu!” Suara Tuan Syed Amiruddin sudah naik satu oktaf. Tangan sudah bercekak di pinggang. Mata pula merenung tajam ke arah Syed Harraz.

 “Dania tu sepupulah, abah. Harraz dah anggap macam adik pun…” balas Syed Harraz.

 “Habis, yang kamu usung dia ke hulu ke hilir tu bukan kamu suka kat dia? Kamu jangan main-main dengan anak pak ngah kamu tu, Harraz. Kalau jadi apa-apa, kamu kena bertanggungjawab. Abah tak nak masuk campur!” Tuan Syed Amiruddin sudah mengangkat tangan seolah-olah menyerahkan segala keputusan di tangan Syed Harraz.

 Semakin berkerut dahi Syed Harraz. Dia selalu keluar dengan Dania pun sebab si Dania tu ajak dia jadi peneman. Inilah masalahnya kalau selalu keluar bersama.

 “Bertanggungjawab apanya, abah? Harraz tak akan buat benda tak senonoh dekat Danialah. Yang pasal kes khalwat tu pun bukan salah Harraz. Salah perempuan tak tahu malu tu. Bukan Harraz yang bawa dia ke rumah…” Syed Harraz sudah menjeling Datuk Syed Amiruddin 

Walaupun betul apa yang si anak katakan, Datuk Syed Amiruddin tidak akan mengakuinya. Tidak boleh. Nanti naik kepala pula anaknya.

 “Mama boleh kenalkan Harraz dengan anak-anak kawan mama kalau Harraz mahu.” Suara Datin Dalilah pula mencelah. “Anak-anak kawan mama semuanya cantik-cantik dan tinggi macam model. Taste Harraz kan suka yang macam tu,” sambungnya sambil menjeling anak tirinya itu.

 “Nasib baik si Kevin dan Remy ada kat rumah tu. Kalau tidak, kami bakal dapat menantu Cina. Manalah kami nak letak muka nanti?” Sinis saja Datin Dalilah bersuara. Syed Harraz sudah menjongketkan kening dan merenung tajam perempuan yang telah menggantikan tempat umminya itu. Setiap kali dia melihat wajah sombong dan sinis Datin Dalilah, hatinya jadi sakit.

 “Abah nak kamu berubah, Harraz. Kamu tu bukannya muda lagi. Kalau kahwin, dah ada anak dua. Macam Abang Haziq kamu tu.” Datuk Syed Amiruddin sudah menggeleng perlahan. Di mana silapnya dia mendidik anak keduanya ini, dia pun tidak tahu. Yang pasti, sejak arwah isterinya meninggal beberapa tahun yang lalu, segalanya berubah. Termasuk diri Syed Harraz Hussain. Syed Haziq Amri, anak sulungnya tidak banyak buat hal. Anaknya itu menerima pemergian umminya dengan tenang. Sekali lagi anaknya menerima dugaan yang hebat apabila isterinya pula meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Kini, Syed Haziq Amri bersendirian membesarkan anak-anaknya yang dua orang itu.

 “Abah bagi tempoh masa setahun untuk kamu cari isteri. Kalau tidak, semua saham kamu akan abah serahkan kepada Haziq. Fikir. Bukan abah nak susahkan kamu tapi demi kebaikan kamu semata-mata. Sampai bila kamu nak bersendiri macam ni? Sekurang-kurangnya bila dah kahwin, kamu belajar erti tanggungjawab dan belajar macam mana nak handle your life!” putus Datuk Syed Amiruddin lagi. 

“Abah mana boleh buat macam tu!” bantah Syed Harraz. Dia sudah duduk tegak sambil merenung wajah Datuk Syed Amiruddin.

 “Then get married!” balas Datuk Syed Amiruddin, keras. Kemudian dia terus keluar dari bilik bacaannya itu. Kepala mula terasa sakit apabila memikirkan tentang Syed Harraz. Tak habis-habis beri masalah kepadanya. 
“Betul kata abah tu, Harraz. Kamu tu dah boleh kahwin sekarang. Umur dah tiga puluh dua. Sedang elok untuk mendirikan rumah tangga,” kata Datin Dalilah pula bagai menangguk di air keruh.

 “I boleh cari isteri untuk diri I sendirilah, mak cik. You tak payah nak susah-susahkan diri nak fikirkan pasal diri I. Baik you carikan isteri untuk Abang Haziq tu. Dia masih ada anak-anak yang perlukan kasih sayang ibu. Sebab, ada nenek pun tak guna juga kalau asyik nak menengking cucu saja!” Sinis Syed Harraz bersuara. Bukan dia tak tahu Datin Dalilah tidak sukakan anak-anak saudaranya. Syed Harraz terus bangun lantas meninggalkan bilik itu. Malas nak dengar bebelan perempuan yang tidak diiktiraf sebagai ibunya itu. Bikin sakit hati saja. 

Berubah riak wajah Datin Dalilah. Kemudian dia hanya mencebik mendengar kata-kata Syed Harraz. Kalau nak diikutkan, dia lebih sukakan Syed Haziq yang tidak banyak cakap itu. Anak tirinya itu banyak mendengar kata. Tak macam Syed Harraz yang suka membantah dan membencinya. Siapa yang tak kenal dengan Syed Harraz? Seluruh Syarikat SAS Holdings kenal dengan jejaka kacak berdarah Arab itu. Seorang yang pandai membawa diri ketika bekerja tanpa perlu diajar apa yang perlu dibuat walaupun baru lima bulan bekerja di syarikat itu. Syed Harraz juga menjadi kegilaan para pekerja wanita. Tapi yang peliknya, Syed Harraz langsung tidak ambil kesah dengan wanita-wanita itu. Dulu, Datin Dalilah ada juga terfikir, yang Syed Harraz mungkin lebih minat kepada kaum sejenis. Maklumlah, terlalu lama duduk di luar negara. Hesy, nauzubillah min zalik… Tapi, nasib baiklah Syed Harraz bukan macam tu. Setiap minggu lelaki itu bertukar-tukar pasangan seperti menukar baju lagaknya. Datin Dalilah tahu pun sebab dia mengupah spy di dalam syarikat itu. Hatinya sudah berkenan kepada anak gadis Datin Lydia. Tapi apabila memikirkan yang Syed Harraz itu suka membantah kata-katanya, nampak gaya hanya tinggal angan-angan sajalah nak bermenantukan si Naomi itu. Datin Dalilah menggeleng perlahan. Hai, nampaknya kenalah buat aksi pujuk-memujuk dengan Datuk Syed Amiruddin. Hmmm... 

Syed Harraz mendaki tangga menuju ke biliknya. Selalunya kalau ada makan malam bersama keluarga, dia akan tinggal di bilik ini. Rumahnya hanya bersebelahan dengan rumah Datuk Syed Amiruddin. Abahnya sengaja membina rumahnya bersebelahan dengan alasan ingin tahu apa yang Syed Harraz buat. Cuma abahnya pesan jangan bawa perempuan masuk ke rumah sekiranya dia hendak tinggal lama di situ. Syed Harraz akur dengan peraturan itu. Nampak saja katil, dia terus merebahkan badan. Mata merenung ke siling sambil otak ligat berfikir. Hesy, macam mana nak buat ni? Perempuan mana pula dia nak cekau untuk dijadikan isteri? Tapi, macam seronok aje bunyinya nak main cari isteri ni. Syed Harraz sudah tersenyum sendiri. Bengong. Masalahnya sekarang, dia tidak ada perempuan yang sesuai untuk dijadikan isteri ! Bagai teringatkan sesuatu, tangannya terus menyeluk saku seluar jeannya lalu mengeluarkan telefon bimbit. Nombor telefon seseorang pantas didail. Lama juga talian hendak bersambung. Mana Mak Mah ni? Dah tidur ke orang tua ni? soalnya dalam hati. Baru aje dia nak matikan talian, telinganya terdengar orang memberi salam di hujung sana. Perlahan saja. Macam suara orang baru bangun dari tidur. 

“Mak Mah! Saya ni...” “Ya, Tuan Harraz!” Terus jelas suara Mak Mah. “Macam mana? Mak Mah dah dapat pembantu yang saya suruh cari tu?” tanya Syed Harraz. “Sudah, tuan. Besok budak tu datang. Umi Zakiah yang hantar dan suruh budak tu tolong saya,” kata Mak Mah lagi. Umi Zakiah? Jadi budak itu dari Rumah Akhlak Mulia? Dahi Syed Harraz sudah berkerut. “Okey, Mak Mah. Malam ni saya tidur kat rumah abah. Besok pagi saya balik. Mak Mah suruh dia jumpa saya dulu sebelum saya ke ofis,” arah Syed Harraz pula. “Baik, Tuan Harraz. Terima kasih sebab sudi benarkan Mak Mah cari pembantu untuk Mak Mah…” “Tak apa, Mak Mah. Kita tengok dulu orangnya macam mana. Kalau tak sesuai, kita suruh umi carikan yang lain pula. Okey, Mak Mah. Pergilah tidur,” kata Syed Harraz. Talian dimatikan dan dia masih berbaring. 

Kemudian dia mencapai semula telefon bimbitnya dan terus menghubungi Remy a.k.a Tengku Ryan Hakimi. Kawan baiknya. “Bro, malam ni aku tak jadi keluar. Ada masalah sikit kat rumah. Okey!” Panggilan terus ditamatkan. Kalau sudah berada di rumah abahnya, tak mungkin dia akan keluar malam. Cari pasal namanya. Tak sanggup nak dengar syarahan daripada Datuk Syed Amiruddin itu. Boleh cair tahi telinga. Jadi, dia pilih untuk jadi budak baik malam ini. Otak kembali berfikir untuk mencari bakal isterinya. Dah macam cerita Musang Berjanggut pulak. Hesy…