Tajuk : Bahagia Mengetuk Hati
Penulis : Amanda Zee
Harga : RM25.00
ISBN : 978-967-0870-10-6
Mukasurat :
Berat :
Sinopsis
LARIAN cuba kulajukan sepantas mungkin. Aku menyusup di balik semak dan belukar. Aku berpaling seketika ke belakang. Nafas kelegaan kuhela bila tiada lagi kelibat yang mengekori langkahku.
Pada ketika ini, tidak tahu kekuatan apa yang aku perolehi. Entah dari mana aku tidak tahu. Mungkin Allah mendengar doaku. Otakku pantas sahaja berfikir. Sebagaimana pantas aku membelasah lelaki-lelaki durjana itu tadi.
Mataku tertancap pada sebatang pokok yang dikelilingi rimbunan kecil. Cukuplah untuk badanku yang kecil molek ini. Segera aku menapak ke situ. Beg selempang aku campak ke sisi.
Sebaik sahaja aku menunduk, telingaku menangkap sesuatu. Aku mengintai. Lelaki-lelaki durjana itu tadi. Aku berpaling membelakangkan mereka. Nafasku mula turun naik luar dari kebiasaan. Berdebar-debar. Janganlah mereka perasan aku di sini.
"Ya Allah, Ya Tuhanku. Kau lindungilah hambamu ini. Amin." Mulutku terkumat-kamit berbisik. Wajah kuraup kasar.
Aku mengintai semula. Nasib baik rimbunan kecil ini mampu melindungi keseluruhan tubuhku. Kalau tidak tak tahulah apa nasibku. Kudratku semakin lemah. Untuk berlawan dengan mereka semua sekali lagi tidak mungkin aku mampu.
"Jumpa tak?" Satu suara garau bertanya.
"Entah tapi aku nampak dia lari ke sini tadi." Lelaki berbaju merah menjawab.
Masing-masing kulihat membesarkan mata memerhati sekeliling.
Terasa dihatiku debaran yang semakin menggila. Bermacam-macam doa aku baca. Berharap sangat lelaki-lelaki keparat ini tidak perasankan aku.
"Sekarang macam mana?" Lelaki berbaju merah itu bertanya pula.
"Siallah budak tu. Kalau aku dapat memang teruk aku kerjakan. Dah, jom blah." Si suara garau mengarah.
Nafas kelegaan kuhela setelah pasti mereka sudah berlalu jauh. Aku bersandar lemah pada pokok yang menjadi tempat aku berlindung.
"Fuhhh...nyaris aje tadi. Kenapalah aku berani sangat tadi." Aku menggeleng.
Beg selempang yang terdampar agak jauh kuambil. Langkahku mati bila satu dehaman menyapa dekat dengan telingaku. Aku menoleh mengikut arah datangnya bunyi tadi.
"Allah!" Terjerit kecil aku jadinya sebelum cepat-cepat tapak tanganku naik menekup mulut. Takut didengari orang. Manalah tahu lelaki-lelaki durjana tadi berpatah balik.
Aku lihat orang yang berdeham tadi tersengih sambil berjalan mendekati aku. Berdiri betul-betul di hadapan aku. Menghalang laluanku.
"Mati aku." Mulutku menggumam.
Aku kini umpama terlepas dari mulut buaya, masuk mulut harimau. Kukerling dengan ekor mata pada figura yang masih tersengih ini.
"Kau buat apa sampai malaun dua ekor tadi kejar kau?" Figura itu menari-narikan keningnya.
"Kau siapa?" Aku bertanya balik. Tak mungkin aku nak jawab soalan dari orang yang tidak aku kenali.
Namun soalan aku dibalasnya dengan jongketan bahu. Buat menyirap darah mudaku sahaja.
"Wei! Tepilah." Aku besarkan mata. Ada juga yang kena karate ni. Bila ditanya tidak mahu jawab. Apa dia ingat aku faham dengan sengihan dia tu.
"Nama aku Hazim." Figura yang tersengih tadi memperkenalkan dirinya kepadaku.
"Tak kisahlah nama kau apa pun." Aku tolak badan figura yang mengatakan namanya Hazim ini. Ingat aku ada masa untuk berkenal-kenalan. Sangat tak sesuai. Sekarang ini aku kena fikirkan nasib diri sendiri. Hidup atau mati. Namun sedikit pun dia tidak berganjak. Malah lelaki itu selamba bersilang tangan di dada. Tersengih memandang aku.
Kenapalah mama dulu tak makan banyak-banyak. Kalau tidak senang aje aku nak jentik mamat ni. Ini nak tolak dia pun aku tak kuat.
Aku ke kanan.
Dia ikut sama-sama melangkah denganku.
Mulutku sudah berbunyi. Aku merengus. Kaki kiri pula aku hayun.
Dia kenyit mata padaku sambil kaki turut sama mengikuti langkahku.
"Arghhh!" Aku menjerit. Penat melayan entah siapa-siapalah mamat bajet bagus ini.
"Kau jeritlah kuat-kuat. Kalau malaun dua ekor tu datang balik, aku tak tahu." Hazim angkat kedua-dua belah tangan tanda mengalah.
Besar kecik besar kecik aje aku tengok mamat bajet bagus ni. Kalau tak mengenangkan perbezaan saiz badan mereka, memang lunyai mamat bajet bagus ni.
Sempat matanya mengerling jam di tangan. Pukul 10 dah? Aduh, aku dah lewat sangat ni. Karang mama dengan papa dah sampai rumah, tahu aku tak ada. Kantoi. Kena perintah berkurunglah jawabnya.
Tiba-tiba terasa sesuatu pada pergelangan tanganku. Terkebil-kebil mataku memandang tidak percaya.
"Ikut aku." Hazim menarik aku berlindung di balik belukar jauh dari tempat tadi.
Keadaan kelam malam menyebabkan aku sukar untuk mengagak apa yang ada di depanku. Hinggakan hampir sahaja aku tersadung. Nasib Hazim pegang tanganku.
Hazim apa? Oh! Ernie. Kau dah ternoda. Poyolah kau, Ernie. Takkanlah setakat pegang tangan sudah ternoda. Mazhab mana yang kau ikut.
"Hish...apa tarik-tarik ta..." Kata-kataku termati di situ. Tapak tangan Hazim elok saja menekup mulutku. Sebelah lagi tangan Hazim menekan kepalaku. Memaksa aku bertinggung sama macam dia.
What the heck? Suka-suka sentuh anak dara orang. Haram tahu tak. Mama! Papa! Tolong Ernie.
Baru sahaja aku ingin bersuara lagi bila Hazim menjauhkan tangannya dari mulutku, telingaku menangkap suara lelaki sedang berbual.
Berderau dadaku. Itu lelaki-lelaki tadi. Apa mahunya lagi? Dan bukan ke tadi Hazim tidak mahu menolongku?...
No comments:
Post a Comment